MY name

Monday, January 24, 2011

Kenali Diri Anda Melalui Tarikh Lahir Islam


Assalamualaikum teman-teman...

Adakah anda mengetahui tarikh lahir anda dalam bulan Islam??
Sila masuk halaman ini..

N lahir pada hari Rabu, bersamaan 15 Muharam 1411 A.H. Bagaimana pula dengan anda yea? hik hik hik 


HIJRAH
Sekiranya anda mengetahui pada bulan Hijrah anda dilahirkan, menurut pengetahuan tradisional bulan itu mempunyai pengaruh yang tersendiri terhadap perilaku. Dicatatkan bagi menambahkan pengetahuan

1.MUHARRAM
Bersifat pendiam, sihat fikirannya. Mungkin akan menjadi bodoh jika tidak mendapat didikan yang sempurna, walaupun begitu, jika dididik dengan baik, dia boleh menjadi cerdik kerana bakat fikiran yang pintar cerdas ada padanya. Dia mempunyai keinginan yang baik dan selalu berada dalam selamat.

2.SAFAR
Tabiatnya buruk. Dia tidak suka mengakui kesalahannya. lbubapanya perlu mendidiknya bagi menghilangkan tabiat buruk itu, jika tidak, kehidupannya akan menjadi susah di kemudian hari. Walaupun begitu, sekiranya dia melakukan sesuatu untuk kepentingan dirinya, selalunya ianya akan mendatangkan hasil.

3.RABIULAWAL
Perwatakannya baik. Mungkin dia akan mendapat pangkat besar, menjadi orang berpengaruh atau kaya tanpa diduga. Dalam pekerjaan ramai yang suka. Sifat negatif dirinya termasuklah kurang sabar, hatinya keras dan mudah marah.

4.RABIULAKHIR
Perwatakannya jahat. Hatinya tidak tetap. Fikiran dan kemahuannya lemah, buruk nafsunya, kasar wataknya, mudah mengangkat tangannya. Kehidupannya menjadi sukar kerana tabiat buruknya itu. Ibubapa menempuh kesukaran dalam mendidiknya.

5.JAMADIL AWAL
Dia mempunyai tingkat keyakinan yang tinggi. Dia berani dan nekad, kadangkala melakukan sesuatu yang bodoh atau bahaya. Walaupun begitu, keberanian dan tekadnya itu akan menunjukkan hasil usahanya, yang menemui kegagalan juga.

6.JAMADIL AKHIR
Wataknya berani, dia hormatkan orang lain. Berbagai kepandaian ada padanya. Apabila dia tahu bahawa dia salah atau keliru maka dia mudah mengakuinya, tapi bila dia tahu dia benar, pendiriannnya keras dan tidak mahu mengalah. Semasa kecilnya, ibubapanya perlu mendidiknya dengan baik agar terserlah sifat-sifatnya yang baik itu, kerana jika betul didikannya, masa dewasa ia akan menyenangkan kedua orang tuanya.

7.REJAB
Semasa kecilnya dia degil dan nakal. lbu bapanya patut mendidiknya dengan baik agar dia dapat menerapkan nilai-nilai yang baik. Ketika sudah dewasa, dia suka bersikap merendah diri dan bersikap tidak tahu menahu. Ini agak berlainan dari sikapnya semasa kecil. Walaubagaimanapun hidupnya selamat dan sentosa.

8.SYA’ABAN
Perwatakannya baik. Hidupnya selamat dan rezekinya tidak putus-putus. Sewaktu kecilnya dia mudah mengalah semasa bermain dengan kawan-kawan. Kelakuannya baik, berbudi bahasa hingga semua orang sayang padanya. Masa dewasanya dia akan berjaya dalam segala kerjayanya danmudah mendapat rezeki.

9.RAMADHAN
Dia baik, pendiam, suka merendah diri. Dia tidak angkuh kepada teman yang dikenalinya. Dia tidak suka menonjolkan diriya. Kehidupannya selalu selamat.

10.SYAWAL
Perwatakannya keras. Hatinya keras. Dia tidak suka dikalahkan oleh orang lain. Hal ini membahayakan hidupnya, oleh itu ibu bapanya perlulah mendidiknya dengan betul bagi menghilangkan tabiat buruknya itu. Jika tidak kehidupannya menjadi susah kerana perangai keras hatinya, dan dia selalu bergaduh terutamanya dalam hal mencari rezeki.

11.ZULKAEDAH
Perwatakannya pendiam. Banyak perkara baik pada dirinya berubah menjadi buruk. Dia banyak berfikir, kerana sifat ini, satu hari nanti dia akan mendapat hasil yang baik dalam kehidupannya. Tetapi oleh kerana banyak berfikir, perbuatannya kadang kala menjadi keliru. Dia seharusnya bertindak tanpa terlalu banyak berfikir untuk mendapat hasil yang yang memuaskan.

12.ZULHIJJAH
Jika dia jahat dia terlalu jahat, jika baik terlalu baik pula. Dia sering mendapat padah dari perbuatannya sendiri. Dia sukar mengawal perasaannya, kadangkala terlalu berlebih-lebihan atau sebaliknya. 0leh kerana dia tidak dapat memberikan garis pemisah, dia sukar mempertimbangkan baik buruk perbuatannya. Dia seringkali menyesal kerana kurang hati-hati dan kurang pertimbangan.

p/s : Kalau rasa tak puas hati, N minta maap sangat2. Kita ambil lah yang baik, untuk dijadikan pedoman hidup di masa akan datang yea... Selamat membaca..

~~~SEKIAN~~~ 

Tak Mampu Kehilangan CINTA....

Assalamualaikum semua....
Pada malam ini, ingin N kongsikan satu lagi artikel yang N baca. Penulis nya ialah Ustaz Pahrol Mohd Juoi, dari buku "Tentang Cinta".


Mari kita sama-sama baca yea.... ALKISAH..

Ketika  kedua suami isteri itu baru berpindah ke bandar, hidup mereka penuh ceria, penuh dengan gurau mesra. Ada masa makan bersama, ada masa solat berjemaah bersama. Walaupun pendapatan masih kecil kerana perniagaan yang mereka usahakan belum menjadi, tetapi mereka mengharungi kehidupan dengan seadanya. Sikap saling memahami dan bertimbang rasa jelas terpancar. Di kejauhan malam atau pada awal pagi sudah kedengaran suara mereka berdua bergurau dan berbual  dengan mesranya.

         Minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhirnya beberapa tahun mula berlalu. Perniagaan kecil-kecilan yang diusahakan dahulu semakin maju.
Untuk menguruskan perniagaan yang semakin berkembang, suami adakalanya pulang lewat petang. Manakala si isteri yang juga memulakan pernigaannya sendiri pun semakin sibuk. Anak-anak pun semakin jarang bertemu dan berbual mesra dengan mereka berdua. Namun, alhamdulillah keadaan ekonomi keluarga bertambah baik.

Mereka telah berpindah dari rumah yang sempit ke rumah yang lebih luas. Sekarang keluarga itu telah memiliki kereta yang besar. Bukan sebuah, tetapi dua buah – sebuah untuk suami, sebuah lagi untuk isteri.
Entah kenapa, kemesraan yang dahulu semakin hilang. Suami semakin leka dengan kawan-kawan seperniagaan dan pelanggannya. Manakala si isteri juga sibuk mempromosi produk jualannya.

Solat berjemaah, makan berjemaah yang dulunya menjadi tradisi semakin jarang dilakukan. Apatah lagi untuk melihat suami memberi sedikit tazkirah untuk anak-anak dan kemudian keluarga itu saling bermaafan bersama seperti dahulu... hampir tidak pernah lagi.

"Benarlah kata bijak pandai, apabila kita mendapat sesuatu, maka pada masa yang sama kita akan kehilangan sesuatu."

Kita tidak akan dapat kedua-duanya pada satu masa. Justeru, pesan bijak pandai lagi, pastikan apa yang kita dapat lebih berharga daripada apa yang kita hilang.
Keluarga tadi mendapat apa yang mereka cari kemewahan dan keselesaan hidup, tetapi pada masa yang sama mereka sudah hilang kemesraan dan keharmonian dalam kehidupan berumah tangga.

Jika ditanyakan kepada hati nurani kita yang paling dalam, antara keduanya yang mana lebih berharga? Kemewahan hidup atau kerukunan rumahtanga? Tentu kita akan menjawab, kerukunan rumahtangga.

-Bukankah kita mencari rezeki dan segala kemewahan hidup untuk  membina sebuah keluarga yang bahagia?
-Jika si suami ditanya, untuk apa kamu bertungkus-lumus bekerja siang dan malam? Tentu jawabnya, kerana isteri aku! Begitulah juga jika ditanyakan kepada si isteri, tentu jawabnya kerana suami.
-Dan jika ditanya kepada kedua ibu-bapa itu, untuk apa mereka berusaha, nescaya kita akan dapat jawapannya... demi anak-anak.

Malangnya, mereka dan kita sering tertipu, betapa ramai yang melupakan isteri, meminggirkan suami dan mengabaikan anak-anak semasa mencari kemewahan dan keselesaan hidup?
Kita sering terlupa yang kemewahan hidup - harta, rumah, kereta dan sebagainya bukan matlamat tetapi hanya alat dalam kehidupan ini.
Kita memburu alat untuk mencapai matlamat.
Ertinya, harta dan segalanya itu adalah untuk membahagiakan rumahtangga kita. Begitulah sewajarnya.
Namun, apa yang sering berlaku adalah kita sering tertukar. Alat jadi matlamat, matlamat menjadi alat.
Kebahagian rumahtangga sering jadi pertaruhan dan acapkali tergadai dalam keghairahan kita memburu kemewahan hidup.
Kita berkerja demi anak-anak, anehnya anak-anak kita abaikan semasa bertungkus lumus bekerja. Kita tidak sedar. Kita terus memburu dan memburu.
Bangun dari tidur, berkemas dan terus bekerja. Hampir senja baru pulang. Tidak cukup dengan itu ada lagi kerja yang kita bawa pulang ke rumah.
Tidak cukup lagi, kita keluar pula bertemu pelanggan dalam kerja-kerja 'part time'.

Begitulah kita hari demi hari, minggu demi minggu, bulan demi bulan dan akhir bertahun-tahun. Tiba-tiba kita tersentak, memikirkan :
(1)Mengapa kita sudah jarang menikmati senyum dan gurauan isteri?
(2)Mengapa kita sudah jarang mendapat sentuhan dan belaian suami?
(3)Mengapa ketawa dan gurau senda sudah semakin hilang dalam rumah tangga?

Pada ketika itu, hati yang degil masih mampu memberi alasan. Aku sibuk. Aku sedang mengejar kejayaan dalam profesionalisme. Sedikit masa lagi, perniagaan ku semakin menjadi. Nantilah, bila segalanya sudah stabil aku akan kembali serius membina keharmonian keluarga. Nantilah, aku akan ini, aku akan ini... Begitulah selalunya diri kita memberi alasan. Hati memberi justifikasi yang bukan-bukan. Dan kita terus selesa dengan alasan, biarlah suami, isteri atau anak-anak berkorban sementara, nantilah kita akan bahagia!

"Jangan keliru. Bahagia itu bukan hanya di hujung jalan tetapi bahagia itu ada di sepanjang jalan. Temuilah bahagia ketika kita mencarinya.  Carilah bahagia yang di sepanjang jalan itu dengan menggenggam rasa cinta sentiasa dan selamanya."

---Carilah harta, tetapi genggamlah cinta. Carilah kemewahan hidup tetapi peluklah cinta itu sekuat-kuatnya. Jangan diabaikan cinta itu walau sekelip pun. Maknanya, tunaikanlah hukum-hukum cinta dalam apa jua pun keadaan---

Hukum-Hukum Cinta
Antara hukum cinta yang paling diutamakan adalah: Cinta itu memberi, cinta itu mendengar, cinta itu berkorban, cinta itu tanggungjawab, cinta itu mendoakan dan cinta itu memaafkan.

Contohnya, jangan kesibukan menyebabkan kita jarang lagi memberi masa, perhatian, senyuman, nasihat dan doa kepada pasangan kita. Jangan hanya mengucapkan kalimah-kalimah cinta yang bersifat 'kosmetik' semata-mata. Tetapi luahkan dalam bentuk perbuatan dan tindakan yang dapat dilihat dan dirasakan.Dan paling penting, jangan sekali-kali diabaikan cinta suci yang menghubungkan cinta antara suami dan isteri.

Cinta itu adalah cinta Allah! Jagalah cinta kita kepada Allah, insya-Allah, Allah akan terus menyuburkan cinta kita suami isteri.
Allah akan berikan hidayah dan taufik ke dalam hati kita untuk terus berpegang pada matlamat. Kita akan sentiasa beringat bahawa dunia dan segala isinya ini hanya alat untuk memburu cinta Allah. Dan hanya dengan memburu cinta Allah maka cinta kita sesama suami isteri akan dikekalkan-Nya.

Dunia ini umpama lautan, ramai orang yang memburunya ditenggelamkan.
Dunia ini menipu daya, ramai pula manusia yang ditipunya. Betapa ramai orang yang memburu dunia dengan menggadaikan sesuatu yang menjadi miliknya yang sangat berharga. Iman, kasih sayang, cinta sering dilemparkan orang dilitar perlumbaan memburu dunia.

Dunia tidak salah, selagi kita memburunya dengan niat untuk beribadah. Kita jadikan dia alat untuk memburu kebahagiaan akhirat.Jadilah dunia umpama kebun yang kita pagar, kita bersihkan dan kita tanam dengan pohon-pohon kebaikan yang hasilnya kita tuai di akhirat. Jadilah dunia umpama jambatan yang kita lalui. Pastikan ia teguh, kukuh tetapi kita tidak akan berlama-lama di situ... ia hanya jambatan. Tidak ada orang yang membina rumah di atas jambatan. Rumah kita yang hakiki ialah di syurga.

Jika ada rasa-rasa itu di dalam jiwa ketika kita memburu karier, kejayaan dalam perniagaan dan apa jua aktiviti keduaniaan, insya-Allah cinta dan kasih sayang tidak akan diabaikan. Orang yang ada di dalam hatinya cinta Allah, sentiasa ada ruang yang lapang untuk mencintai sesama manusia lebih-lebih lagi suami, isteri dan anak-anaknya.Dengan cinta itu kita akan menyelamatkan semua keluarga kita daripada neraka akhirat.

Dan neraka di akhirat itu hanya akan dapat kita hindari jika kita berjaya menyelamatkan diri dan keluarga kita daripada neraka dunia. Apakah neraka dunia itu? Neraka dunia itu ialah hilangnya kasih sayang di tengah-tengah rumah yang besar.

Pudarnya cahaya wajah dan ketenangan hati di tengah sinar lampu yang beribu-ribu ringgit harganya di tengah ruang tamu rumah yang besar itu.
Dan hambarnya perbualan di dalam kereta mewah yang sering bertukar ganti.
Yang ketawa ria ialah pelakon-pelakon di dalam filem yang kita tonton, tetapi hati kita semakin kosong, gersang dan sayu entah apa puncanya!
Lihatlah Rasulullah SAW. Betapa sibuknya baginda... tetapi masih ada masa berlumba lari bersama Aisyah isterinya. Betapa besar perjuangannya... tetapi masih mampu meluangkan masa bersama isteri yang hendak melihat tarian dan permainan pedang di suatu Hari Raya. Ketika baginda kaya, dikorbankannya harta... kerana baginda tidak kehilangan cinta. Ketika baginda miskin... dihadapinya dengan sabar kerana di dalam hatinya tetap ada cinta. Baginda tidak pernah kehilangan cinta kerana di dalam hatinya ada cinta yang lebih besar... cinta Allah!

Ayuh Intai-Intai Semula
Justeru, intai-intailah semula cinta di dalam rumah tangga kita. Masih bersinar atau sudah pudar? Jika sudah pudar, ayuh muhasabah kembali di mana puncanya? Apakah yang kita garap hingga kita sanggup menggadaikannya?
Ayuh, lihat kembali 'di mana Allah' dalam rumah tangga kita? Di mana solat jemaah, di mana zikir, di mana tazkirah, di mana sadakah, di mana bacaan Al Quran...

Di manakah semua 'ayat-ayat cinta' itu dalam rumah yang mungkin sudah semakin luas, kereta yang semakin mahal, makanan yang semakin lazat, tabungan kewangan yang semakin banyak?

Dan pandang wajah isteri, renung wajah suami... tatap lama-lama. Bila kali terakhir kita bertentangan mata dalam keadaan yang paling tenang, harmoni dan syahdu? Sekali lagi bila? Bukankah mata itu jendela bagi hati. Pertautan mata petanda pertautan hati? Atau kita hanya melihat sekadar imbasan, tolehan dan pandangan, tanpa ada rasa cinta, kasih, mesra, kasihan, simpati, empati dan lain-lain perisa hati? Apakah kita secara tidak sedar telah bertukar menjadi 'haiwan berteknologi' dalam belantara dunia meterialisma yang semakin ketandusan cinta? Lalu, di kejauhan destinasi ketika sibuk menguruskan kerja atau perniagaan, sudi apalah kiranya suami atau isteri menghulurkan gugusan doa-doa yang paling kudus untuk pasangannya?
Atau ketika dia pulang nanti, kita sapa tangannya dan bersalam penuh mesra lantas  berdakapan dengan hati yang terus berkata-kata, "inilah teman ku di dunia untuk menuju syurga!" Inilah yang semakin hilang dalam rumah tangga kini.

Kita memburu tanpa sedar bahawa kitalah yang sebenarnya diburu.
Diburu oleh kesibukan yang tiada penghujung, keresahan yang tiada penawar. Kekosongan yang tidak dapat  di isi. Kerana hati tanpa cinta... adalah hati yang mati!

Carilah cinta kita yang hilang. Insya-Allah kita akan temuinya semula cinta itu di tempat, suasana dan masa ketika kita mula-mula menemuinya dahulu.
Bukankah kita bertemu kerana Allah? Bukankah yang menyatukan kita kalimah-Nya?

Bukankah tempat termaktubnya lafaz akad dan nikah di rumah Allah? Kembalilah ke sana. Carilah kekuatan itu semula. Tidak ada manusia yang terlalu gagah untuk hidup tanpa-Nya. Dan tidak ada hati yang paling waja hingga mampu bertahan terhadap tipuan dunia tanpa cinta. Renunglah mata isteri atau suami mu, carilah cinta itu di situ. Masih ada? Atau telah tiada? Dan kemudian genggam erat tangannya. 

Mari kita cari semula cinta yang hilang itu bersama-sama!

Sayang... di kejauhan ini
Ku sentuh hatimu dengan rasaku
Debarnya debar cinta
Denyutnya denyut setia
Ku usap air matamu yang jernih
Dengannya ku sulamrasa kasih
Kutatap matamu yang duka
Di situ kutemui makna rela
Sayang.. dikejauhan ini
Ku sapa salam setiamu
Ku sambut  senyum mesramu
Onak, duri dan jeriji besi ini
Tak kan menghalang bicara
... rasa kita berdua
Sayang, sayang, sayang,
Semakin terpisah...
cinta kita  semakin indah
Semakin jauh...
kasih kita semakin kukuh
Kita boleh hilang segalanya
Namun kita tidak mampu kehilangan cinta!
Oh...terharunya N...hik hik (mendalam maksudnya tuh) ....
Ingat yea, CINTA bukan shj sesama manusia tetapi jua pada Allah swt. Sama2 kita mencari cinta kita yea...Semoga berjumpa lagi...

~~~SEKIAN~~~

Sunday, January 23, 2011

Jodoh! Mengenali Seseorang... (Dr. Fadzilah Kamsah)

JANGAN MENCARI TERLALU SEMPURNA

Assalamualaikum wbt, bertemu lagi kita di blog N ni....Malam ni tetiba je N terbaca satu artikel di laman rakan N. N teringin nak kongsi bersama, tajuk yang "Dr.Fadzilah Kamsah" mengenai "JODOH".... Baca je TAJUK dah rasa seronok bukan?....hik hik hik

....BUAT PEDOMAN BERSAMA....
"Jika kamu memancing ikan, Setelah ikan itu terlekat di mata kail, hendaklah kamu mengambil ikan itu.... Janganlah sesekali kamu LEPASKAN ia semula ke dalam air begitu saja.... Karena ia akan SAKIT oleh kerana bisanya ketajaman mata kailmu dan mungkin ia akan MENDERITA selagi ia masih hidup."

Begitulah juga, Setelah kamu memberi banyak PENGHARAPAN kepada seseorang... Setelah ia mulai MENYAYANGIMU hendaklah kamu MENJAGA hatinya.. Janganlah sesekali kamu meninggalkannya begitu saja.... Kerana dia akan TERLUKA oleh kenangan bersamamu dan mungkin TIDAK dapat MELUPAKAN segalanya selagi dia mengingatmu....  

"Jika kamu menadah air biarlah berpada, JANGAN TERLALU MENGHARAP pada takungannya dan janganlah menganggap ia begitu teguh.... cukuplah sekadar keperluanmu.... Apabila sekali ia retak.... tentu sukar untuk kamu menampalnya semula.... Akhirnya ia dibuang....  Sedangkan jika kamu cuba memperbaikinya mungkin ia masih dapat dipergunakan lagi...."

 Begitu juga jika kamu memiliki seseorang, TERIMALAH seadanya.... Janganlah kamu terlalu mengaguminya dan janganlah kamu menganggapnya begitu istimewa.... Anggaplah dia manusia biasa. Apabila sekali dia melakukan KESILAPAN bukan mudah bagi kamu untuk menerimanya.... akhirnya kamu KECEWA dan meninggalkannya.  Sedangkan jika kamu MEMAAFKANNYA boleh jadi hubungan kamu akan TERUS hingga ke akhirnya....  InsyAllah...

"Jika kamu telah memiliki sepinggan nasi... yang kamu pasti baik untuk dirimu. MENGENYANGKAN! BERKHASIAT! Mengapa kamu berlengah, cuba mencari makanan yang lain.. Terlalu ingin mengejar kelazatan. Kelak, nasi itu akan basi dan kamu tidak boleh memakannya. Kamu akan menyesal.  "

Begitu juga jika kamu telah bertemu dengan seorang insan..... yang pasti membawa KEBAIKAN kepada dirimu. MENYAYANGIMU... MENGASIHIMU... Mengapa kamu berlengah, cuba MEMBANDINGKANNYA dengan yang lain. Terlalu mengejar kesempurnaan. Kelak, kamu akan KEHILANGANNYA apabila dia menjadi milik orang lain Kamu juga yang akan MENYESAL....

SENYUM!
p/s : Konklusinya, belajarlah menerima diri seseorang seadanya. Jangan memaksa mereka untuk berubah tapi bimbing mereka ke arah perubahan yang lebih baik.  Sesungguhnya, manusia itu bukanlah terlalu sempurna, untuk jadi Hebat! perlulah bersyukur atas semua kurniaan Nya pada kita. Bersedia menerima kelemahan diri dan juga orang lain... Itu jugalah yang N faham dari artikel ini... Senyum selalu yea.....(sedekah juga tuuu) hik hik

Amalan memberi salam yang baik...

UNTUK RENUNGAN BERSAMA,RENUNG-RENUNGKANLAH & SELAMAT BERAMAL..

...Assalamualaikum wbt semua pengunjung blog N...
Hari ini, N punyai ilmu utk dikongsi bersama anda. Pagi semalam dengar radio IKIM (91.50 fm), ustaz Zawawi citer tentang sunnah Rasulullah s.a.w. Topik yang ingin N kongsikan di sini ialah mengenai "memberi salam yang baik"..
 
"....Baginda memberi salam dgn lafaz "assalamualaikum" dan menjawab salam dari para sahabat dgn salam yg penuh "waalaikumussalam warahmatulallah hi wabarakatuh" ...."

Beri salam - "assalamualaikum"
Jawab salam - "waalaikumussalam warahmatulallah hi wabarakatuh"

Apabila kira berkirim salam kepada org lain, contohnya kepada sahabat N yang bernama Farhana...hendaklah kita berkata "Kirim salam
assalamualaikum pada Farhana ye" contoh yea.... jangan pulak kita katakan, "Kirim salam kat Farhana yea" sesungguhnya ayat itu tidak molek.

Dan juga bukannya "Kirim salam maut" statement ini adalah BERDOSA, walaupun sekadar gurauan! Jangan main-main yea...

Semoga ada manfaat. 

Sekarang, N nak beritau maksud singkatan "Akum" yang digunakan di dalam SMS selalunya.

                  "Akum = Avde Kokhavim U Mazzalot"



Oleh itu, marilah kita sama-sama, renungkan.....


Ramai diantara kita yang suke mggunakan short form "akum" , "askum", "salam" dll. Mari kita ketahui maksud salam yang sebenarnya....


Maka berpalinglah (hai Muhammad) dari mereka dan katakanlah:"Salam (selamat tinggal)".Kelak mereka akan mengetahui (nasib mereka yangburuk). (QS. 43:89) 
 السلاما=keamanan.....
 
Janganlah kita menggantikan perkataan "Assalamualaikum" dengan "A'kum" dalam sms atau apa sekalipun melalui tulisan. Jika perkataan Assalamualaikum itu panjang, maka hendaklah kita ganti dengan perkataan "As-Salam" iaitu sama makna dengan Assalamualaikum. Bersama lah kita memberitahu sahabat2 yang selalu sangat guna shortform. 
A'kum dalam sms ataupun email. Perkataan 'AKUM' adalah gelaran untuk orang-orang Yahudi untuk orang-orang bukan yahudi yang bermaksud  'BINATANG' dalam Bahasa Ibrani.
(Ia singkatan daripada perkataan 'Avde Kokhavim U Mazzalot' yang bermaksud 'HAMBA-HAMBA BINATANG DAN ORANG-ORANG SESAT' ..)

So, apa kata mulai dari saat ini,  jika ada orang hantar shortform "A'kum", kita sama-sama ingatkan dia guna "As Salam" kerana as-salam ialah dari perkataan Assalamualaikum.
 
Semoga ada manfaatnya yea, InsyAllah. Maju Agama Demi Diri.


JIKA ANDA TIDAK KEBERATAN , FORWARD LAH CERITA KEPADA TEMAN TEMAN ANDA, KERANA SESUNGGUHNYA ILMU YANG BERMANFAAT ITU , AKAN ABADI JIKA DIAMALKAN. 

Saturday, January 22, 2011

Siapakah Diri Kita? 10 Q ini mungkin membantu...

Assalamualaikum wbt teman-teman...
Diharapkan semua pengunjung blog ini sentiasa sihat hendakNya.  Pada hari ini, N teringin sangat berkongsikan 10Q mengenai diri kita sendiri. Mungkin kita dapat megetahui dimana letaknya diri kita sebagai seorang Muslim dan berkait rapat dengan aktiviti seharian dan sifat dan sikap kita, melalui semua soalan2 ini. 

1) Siapakah orang yang sibuk?
Orang yang sibuk adalah orang yang tidak mengambil berat akan waktu solatnya seolah-olah ia mempunyai kerajaan seperti kerajaan Nabi Sulaiman a.s

2) Siapakah orang yang manis senyumannya?
Orang yang mempunyai senyuman yang m ani s adalah orang yang ditimpa musibah lalu dia kata “Inna lillahi wainna illaihi rajiuun.” Lalu sambil berkata,”Ya Rabbi Aku redha dengan ketentuanMu ini”, sambil mengukir senyuman.

3) Siapakah orang yang kaya?
Orang yang kaya adalah orang yang bersyukur dengan apa yang ada dan tidak lupa akan kenikmatan dunia yang sementara ini.

4) Siapakah orang yang miskin?
Orang yang miskin adalah orang tidak puas dengan nikmat yang ada sentiasa menumpuk-numpukkan harta.

5) Siapakah orang yang rugi?
Orang yang rugi adalah orang yang sudah sampai usia pertengahan namun masih berat untuk melakukan ibadat dan amal-amal kebaikan…

6) Siapakah orang yang paling cantik?
Orang yang paling cantik adalah orang yang mempunyai akhlak yang baik.

7) Siapakah orang yang mempunyai rumah yang paling luas?
Orang yang mempunyai rumah yang paling luas adalah orang yang mati membawa amal-amal kebaikan di mana kuburnya akan di perluaskan saujana mata memandang.

8) Siapakah orang yang mempunyai rumah yang sempit lagi dihimpit?
Orang yang mempunyai rumah yang sempit adalah orang yang mati tidak membawa amal-amal kebaikkan lalu kuburnya menghimpitnya.

9) Siapakah orang yang mempunyai akal?
Orang yang mempunyai akal adalah orang-orang yang menghuni syurga kelak kerana telah mengunakan akal sewaktu di dunia untuk menghindari siksa neraka..

10) Siapakah org yg KEDEKUT ?
Orang yg kedekut ialah orang yg membiar atau membuang email ini begitu sahaja, malah dia tidak menyampaikan pula pada org lain. …

p/s : eik, maap2..ayat yang last kat atas tu, bukan N yang tulis, tapi termasuk dalam pakej post tu… icon biggrin 10 Soalan Mengenai Siapa Diri Kita Sebenarnya? , Semoga dapat di ambil pengajaran dan ruang untuk muhasabah diri kita sendiri....time kacih yea...

~~~~SEKIAN~~~~

Wednesday, January 19, 2011

KENALI DIRI ANDA ..........

Terdapat seseorang yang menanyakan soalan ini kepada salah seorang pakar psikologi.. Malah saya pun turut tertanya-tanya apakah jawapan nya. Ianya bukan sembarangan soalan kerana daripada jawapan yang diberikan, anda dapat mengetahui sebab mengapa seseorang itu memilih pasangan mereka.
Walaupun ia cuma ramalan psikologi, namun ada juga kebenarannya. Nak tahu apa soalan tersebut? Baik, saya kongsikan dengan anda. Soalannya berbunyi begini.

Ada 5 perkara berlaku serentak.
1.Air mendidih kat dapur.
2.Air paip melimpah kat bilik air.
3.Bayi menangis.
4.Telefon berbunyi.
5. Ada orang ketuk pintu.

Kalau anda diberi pilihan, apakah perkara yang anda akan 'settle' kan terlebih dahulu?

Anda dikehendaki untuk susun perkara 1 ~ 5 tersebut mengikut kepentingan dan keutamaan yang anda fikirkan.
Semua perkara tersebut mestilah diselesaikan.
Susunlah ikut perkara yang anda rasa lebih penting untuk diselesaikan dahulu.

Bayangkan anda sedang mengalami keadaan seperti itu sekarang.

Fikirkan dan timbangkan, apakah perkara yang anda akan selesaikan mengikut keutamaan anda.

Fikir...
Fikir...
Fikir...
Fikir...
Fikir...

OK, dah habis fikir dan buat keputusan?
Nak tahu apakah fakta terselindung disebalik jawapan yang anda berikan?

Baik, mari kita semak jawapan anda...
apakah ciri/sifat/perkara yang anda utama dan pentingkan dalam memilih pasangan anda.


* Kalau anda memilih untuk menutup air medidih : menandakan anda mementingkan keselamatan dan kebolehan 'si dia' untuk membimbing anda.

* Kalau anda memilih untuk menutup pili air yang melimpah di bilik air : menandakan anda mementingkan kekayaan,wang ringgit dan harta.

* Kalau anda memilih untuk memujuk bayi yang menangis : menandakan anda mementingkan cinta dan kasih sayang.

* Kalau anda memilih untuk mengangkat telefon yang sedang berbunyi : menandakan anda mementingkan akhlak, budi bahasa dan perlakuan pasangan anda.

* Kalau anda memilih untuk membuka pintu : menandakan anda mementingkan rupa paras, fizikal luaran dan personaliti pasangan anda.


Haaa macammana dengan keputusan anda? Bagus? Anda boleh bertanya soalan ini kepada rakan-rakan anda untuk mengetahui apakah perkara-perkara yang mereka utamakan dalam memilih pasangan hidup.

Kita haruslah ingat, pasangan hidup ini bakal kekal bersama kita hinggalah ke akhir hayat. Manusia  tidak dapat memilih siapa yang patut jadi ibu dan bapanya. Tetapi manusia masih ada ruang dan peluang untuk memilih siapa bakal pasangan hidupnya. Jika tidak boleh memilih, masakan ada pedoman agama dalam hal-hal yang harus dititik beratkan ketika pemilihan jodoh? 

~~~~SEKIAN~~~~


Selamat Mencuba.

Hargai Keluarga Mu....

Bahagiakanlah keluarga kita sebelum membahagiakan orang lain.
Kesolehan keluarga menjadi penentu bagi tegaknya sesuatu bangsa yang aman, makmur dan sejahtera.
Sebahagian dari kesempurnaan kebahagiaan di dunia adalah memiliki keluarga yang bahagia.
Ciri orang yang mencintai keluarganya adalah dia selalu bersabar dalam mendidik akhlak dan keimanan keluarganya.
Seorang yang bekerja keras untuk menunaikan tanggung jawab kepada keluarganya adalah bukti kasihnya kepada keluarganya.
Tingginya darjat suami ditentukan oleh perjuangannya menjadi pemimpin rumah tangga, sehingga dituntut menjadi teladan yang baik bagi keluarga yang dipimpinnya.
Sesungguhnya keluarga itu tempatnya yang aman dan selesa dalam berkongsi suka dan duka.
Kasih sayang yang terjalin diantara anak dan ibubapa mampu melahirkan sikap jujur dan terbuka.
Kekuatan cinta yang tulus mampu menggerakkan lisan untuk senantiasa berterima kasih kepada pasangan, anak ataupun ibubapanya.
Mencintai keluarga adalah amanah bagi setiap manusia.

Pecinta keluarga tidak akan membiarkan dalam rumahnya berlaku keburukan dan kemaksiatan.
Anak-anak lebih memerlukan contoh dan keteladanan dari kedua ibu-bapa mereka daripada celaan dan kekerasan.
Kehidupan kita akan berubah apabila dimulai dengan perubahan diri, keluarga dan persekitaran.
Mahkota orang tua adalah anak cucunya dan kehormatan anak-anak adalah kerana nenek moyang mereka.
Apabila setiap ahli keluarga saling mencintai, menyayangi, dan saling mengalah, nescaya seluruh masyarakat akan menjadi baik, aman dan damai.

Keharmonian keluarga terletak pada sikap tanggungjawab dan terbangunnya komunikasi yang sihat diantara ahli keluarga.
Komunikasi dalam keluarga akan senantiasa terpelihara selama komunikasi dengan Allah pun tetap terjaga.
Keluarga yang dekat dengan Allah akan menjadi keluarga yang layak ditolong olehNya dalam setiap urusannya.
Rasul saw bersabda, paling dekat dengan ku kedudukannya kelak pada hari kiamat adalah orang yang paling baik akhlaknya dan sebaik-baik kamu ialah yang paling baik terhadap keluarganya.
Barangsiapa bersusah payah mencari nafkah untuk keluarganya, maka dia adalah seumpama seorang mujahid dijalan Allah.
Warisan termahal dan terbaik dari diri kita untuk keluarga, keturunan, dan masyarakat adalah keindahan akhlak kita.
Allah mencintai orang-orang yang selalu berjuang memperbaiki diri, keluarga dan masyarakat.
Cintailah suami atau isteri kita dengan memuliakan ibubapa dan keluarganya.
Bagaimana kita bersikap kepada anak-anak kita, begitu pulalah mereka akan bersikap kepada kita. Maka berikan sikap yang terbaik kepada mereka
Jika Allah cinta kepada sebuah keluarga, maka salah satu cirinya ialah keluarga itu dibukakan hati untuk ilmu agama.
Kebahagiaan sesuatu keluarga bukanlah diukur dari segi mata-benda, tapi sejauh mana keta’atan keluarga kepada Allah.
Ibadah seorang ibu adalah modal bagi lahirnya anak-anak yang soleh yang akan menjadi benteng bagi ibubapanya kelak di akhirat.

Selamat Beramal~~